--> Skip to main content

Ujian lima pemain Kuching FA disahkan negatif

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan status Kuching FA berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif COVID-19 berpunca daripada Kluster Sentosa sebelum ini.

Katanya, badan pengendali liga itu sentiasa memantau keadaan pasukan berkenaan sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan di Kuching bagi tujuan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan.

"Buat masa ini keputusan untuk kelima-lima pemain negatif ketika diambil di hospital tempoh hari dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching. Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantin selama 14 hari.

"Bagi pemain lain, semuanya didapati negatif untuk ujian calitan yang pertama dan ujian kedua akan dibuat esok (hari ini) sehingga Khamis depan di mana semua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini.

"Sementara itu, MFL dapat mengesahkan bahawa sifar kes berkaitan dengan pemain Kedah di mana pemain itu didapati bebas dari COVID-19 dan sudah dibenarkan keluar dari hospital pada 31 Julai lalu," katanya.

Terdahulu, MFL mengumumkan pasukan Liga Super dan Liga Perdana dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan sebagai persiapan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 26 Ogos ini bermula hari ini.

Ab Ghani berkata, keputusan membenarkan perlawanan persahabatan itu selaras kenyataan MFL sebelum ini di mana setiap pasukan perlu berada dalam tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga kelmarin.