--> Skip to main content

Tunggu Jumaat ini

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan pada Jumaat ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah boleh dibicarakan.

Peguam yang mewakili 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Tengku Fuad Tengku Ahmad meminta mahkamah untuk memberi mereka masa bagi mengemukakan hujahan balas secara bertulis atas keterangan lisan responden.

Ini berikutan setelah salah seorang peguam dari Jabatan Peguam Negeri membangkitkan perkara di mana Adun tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim hari ini membenarkan hujahan balas secara bertulis dihantar pada Rabu dan kemudian diputuskan pada Jumaat ini.

Tengku Fuad ketika ditemui pemberita berkata, hujah baharu terbabit dibangkitkan oleh Peguam Besar Negeri Sabah dalam prosiding berkenaan.

"Berdasarkan hujah sebentar tadi, Peguam Besar Negeri membangkitkan hujah baharu dengan mereka mengatakan 33 Adun tidak mempunyai hak untuk mencabar keputusan Tuan Yang Terutama.

"Mereka tidak mempunyai kuasa di mahkamah dan sudah tentu ianya adalah silap kerana mereka membangkitkan hujah baharu," katanya.

Sementara itu, Brenndon Keith Soh mewakili Juhar, kerajaan negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah sementara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui berkata, pihaknya masih berpegang kepada hujah sama yang mempertahankan hak Yang Di-Pertua Negeri dalam isu pembubaran.

"Kami masih berpegang kepada fakta bahawa mahkamah tinggi tidak mempunyai kuasa untuk menidakkan keputusan Tuan Yang Terutama berikutan hakim menegaskan terdapat pemisahan kuasa setara dengan eksekutif," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan semalam sebagai tarikh bagi menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dun baru-baru ini boleh dibicarakan di mahkamah.

Leonard menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan Dun Sabah.

Perkara terbabit dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad dan 32 Adun yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Media sebelum ini melaporkan Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun, Shafie kemudian mengumumkan Dun dibubarkan dan permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Juhar.