--> Skip to main content

Tular semula, ada pihak mahu sensasikan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan video mengenai aktiviti perniagaan di Desa Setapak berhampiran Stesen LRT Wangsa Maju, Kuala Lumpur adalah video lama yang ditularkan semula.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan, ia ditularkan semula dengan niat untuk disensasikan berkaitan isu semasa serta bertujuan menjejaskan reputasi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, DBKL sudah melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing di lokasi itu pada 7 Julai lalu dengan menyita lima gerai warga Myanmar.

"Tindakan penguatkuasaan diambil adalah berdasarkan rutin biasa DBKL terhadap warga asing atau penjaja tempatan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan tanpa mengira lokasi.

"Ia akan diteruskan DBKL dengan membabitkan agensi sahabat yang lain seperti Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis di seluruh Kuala Lumpur termasuk lokasi berkenaan," katanya.