--> Skip to main content

Tolong daftarkan perkahwinan anda!

WANITA Orang Asli khususnya yang tinggal di Lojing dan Pos Brooke, di Gua Musang yang berkahwin dengan lelaki warga asing perlu mendaftarkan perkahwinan mereka.

Ia bagi mengelakkan sebarang kerumitan dalam pelbagai urusan termasuk 'digantung tidak bertali' selepas suami warga asing pulang ke negara asalnya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo berkata, masalah wanita Orang Asli berkahwin dengan lelaki warga asing bukan perkara baharu.

Sebaliknya, beliau berkata, ia berlaku sejak puluhan tahun lagi sehingga ada di antara mereka sudah mempunyai anak dan cucu yang masih tinggal bersama.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan mereka yang berkahwin tidak mendaftarkan perkahwinan sama ada dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau jabatan lain yang berkaitan.

"Apabila keadaan itu berlaku sebarang masalah yang timbul susah untuk diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JAKOA 2019 di Dewan Komuniti KESEDAR, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ramai wanita Orang Asli di sekitar Lojing, Gua Musang berkahwin dengan lelaki warga asing, sebelum ditinggalkan.

Baru-baru ini, Harian Metro mendedahkan hampir 50 daripada lebih 100 wanita Orang Asli yang berkahwin dengan lelaki warga asing digantung tidak bertali.

Ia berlaku apabila lelaki warga negara Indonesia Bangladesh dan Pakistan yang mendirikan rumah tangga dengan wanita Orang Asli pulang ke negara asalnya.

Sementara itu, Juli berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, perkara itu tidak berlaku kepada wanita Orang Asli di negeri lain kecuali di pedalaman daerah Gua Musang sahaja.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya sedang berusaha mendapatkan sijil kelahiran anak-anak Orang Asli yang berkongsi hidup dengan lelaki warga asing.

"Usaha itu bagi mengelakkan anak mereka tercicir dalam pelajaran dan berdepan halangan ketika urusan kebajikan daripada jabatan selepas ini.

"Fikir-fikirlah sebelum berkahwin dengan dengan lelaki warga asing kerana banyak risikonya... Dapatkan nasihat daripada penghulu serta tok batin terlebih dahulu," katanya.