--> Skip to main content

Tipu beg hilang elak bayar hutang judi

AKIBAT membuat laporan palsu kehilangan beg pinggang, pekerja kilang dikenakan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Reduan Abdul Razak, 37, selepas tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis yang mana dia tahu adalah palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, pada 8.20 malam, 3 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat laporan kehilangan beg pinggang miliknya di dalam tandas awam medan selera Jalan Keratong - Bahau dan beg itu mengandungi pelbagai barang milik peribadi mangsa termasuk wang tunai RM8,000.

Siasatan lanjut polis mendapati tertuduh membuat laporan palsu bagi mengelak membayar hutang judi dalam talian.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.