--> Skip to main content

Tindakan tegas jika pasang Jalur Gemilang terbalik

POLIS memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memasang Jalur Gemilang terbalik.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mereka yang didapati sengaja memasang bendera akan diambil tindakan.

"Individu yang tidak pasti cara pemasangan bendera yang betul boleh merujuk kepada pihak yang berkaitan.

"Mereka juga boleh bertanya di mana-mana balai polis mengenai susunan bendera, bagaimana menyusun bendera Malaysia dan negeri," katanya ketika ditemui di Kompleks Penjara Kajang, hari ini.

Semalam, polis menahan pemandu lori serta empat pekerja syarikat sisa pepejal kerana memasang Jalur Gemilang terbalik pada lori sampah di Bandar Country Homes, Rawang.

Semua lima individu berkenaan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.