--> Skip to main content

Tiada penerbangan antarabangsa hingga akhir tahun - AirAsia Group

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd menjangkakan tiada perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan kumpulan penerbangan itu hingga tahun ini disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata impak pandemik itu akan berlarutan dan berkemungkinan mengambil masa untuk pulih sekali gus membuka kembali perjalanan udara kepada situasi normal.

Beliau berkata, kumpulan AirAsia juga bersedia untuk berhadapan dengan situasi sukar jika sempadan kebanyakan negara di dunia ini masih tidak dibuka sehingga akhir tahun ini.

"Kami bersedia untuk perkara itu, jika tiada perjalanan udara dapat dilakukan pada tahun ini. Namun AirAsia mengharapkan krisis kesihatan dan ekonomi global ini akan pulih secepat mungkin dan tidak berlarutan sehingga Disember 2020.

"Kami sentiasa optimistik dalam perniagaan AirAsia. Tetapi kami memerlukan lebih lagi walaupun penerbangan domestik sudah dibuka,," katanya selepas melancarkan AirAsia Shop, platform e-dagang terbarunya di sini hari ini.

Mengenai adakah AirAsia akan mengecilkan lagi operasi perniagaan mereka jika keadaan menjadi lebih teruk dan perjalanan udara antarabangsa masih tidak dapat dilaksanakan, Fernandes berkata pihaknya mengharapkan ia tidak akan berlaku.

Beliau berkata, walau bagaimanapun banyak faktor perlu difikirkan dan kumpulan mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dijalankan.

"Januari 2021 diharap akan lebih baik dan keadaan akan menjadi lebih normal.

"Cuma apa yang menjadi kerisauan ketika ini kepada semua perniagaan adalah jika berlakunya gelombang kedua dan ketiga pandemik COVID-19," katanya.

Tony turut mengharapkan pemimpin negara ASEAN yang mempunyai zon hijau lebih berani dan kembali membuka semula sempadan masing-masing demi peningkatan ekonomi serantau.

Beliau berkata, seperti laluan zon hijau Malaysia dan Singapura. Ini adalah peluang bagi negara lain seperti Thailand, Vietnam, Kemboja , dan Laos perlahan-lahan dan berhati-hati membuka sempadan mereka, tanpa terlalu banyak risiko.

"Jika anda melihat Thailand, yang memiliki kurang dari 10 kes sehari, mengapa Malaysia dan Thailand tidak memiliki laluan zon hijau.

"Ini kerana ASEAN adalah antara yang baik dalam menangani krisis pandemik ini. Kami tahu realitinya ketika ini tiada siapa yang bersedia membuka sempadan mereka, tapi apa salahnya jika kita ambil langkah pembukaan ini.

"Ia akan mengambil masa yang panjang untuk semua negara pulih dari pandemik dan perintah kawalan, jadi pembukaan sempadan ini adalah langkah awal," katanya.

AirAsia Shop membolehkan pelanggan untuk membeli produk tulen bebas cukai dengan kemudahan penghantaran ke rumah dengan sokongan cabang logistik AirAsia, Teleport.

AirAsia Shop menawarkan pelbagai pilihan jenama mewah dari serata dunia yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti kecantikan, minyak wangi, gajet, kesihatan, aksesori pelancongan dan juga cenderamata AirAsia.

Sempena pelancaran itu, bermula 27 Ogos hingga 6 September 2020, AirAsia Shop menawarkan diskaun sebanyak 40 peratus dan pembelian dengan hadiah untuk produk penjagaan kulit terpilih dari Korea yang terdiri daripada pelbagai jenama popular termasuk Innisfree, Sulwhasoo, Laneige dan banyak lagi.

Selain itu, nikmati penghantaran secara percuma bagi pembelian lebih dari RM100 di kawasan Lembah Klang sahaja.

Nikmati juga promosi beli satu percuma satu untuk produk penjagaan kulit AHC dan Elizabeth Arden terpilih bermula hari ini hingga 6 September 2020.

Pelanggan juga boleh menikmati promosi bulanan dengan diskaun sehingga 72 peratus untuk produk-produk terpilih.