--> Skip to main content

Tiada kesalahan direkod sepanjang kempen - SPR

SLIM RIVER: Tiada kesalahan pilihan raya direkodkan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

SPR dalam satu kenyataan memaklumkan, bagaimanapun empat laporan polis diterima sejak hari pertama kempen sehingga semalam, berkaitan 'billboard' calon Barisan Nasional (BN) disembur dengan penyembur berwarna hitam.

Laporan juga diterima dari wakil calon Bebas (pokok) yang mendakwa berlaku unsur sogokan terhadap pengundi dalam satu program anjuran Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, aduan daripada anak pemilik kedai makan yang mendakwa difitnah di media sosial dan dikaitkan dengan parti politik menyebabkan menerima kecaman daripada orang ramai.

Aduan seterusnya berkaitan, risalah profil calon BN diedarkan bersama bendera Malaysia yang tertera 'Sumbangan Jabatan Penerangan Malaysia'.

Dalam pada itu, tiada laporan berkaitan rasuah diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga tamat tempoh berkempen jam 12 tengah malam tadi.

SPR juga memaklumkan, sebanyak 48 ceramah dan program membabitkan parti dan calon bertanding dipantau mereka sepanjang 14 hari tempoh berkempen.