--> Skip to main content

Thiago Silva sah sertai Chelsea

LONDON: Transformasi Chelsea di bawah kendalian Frank Lampard diteruskan selepas pasukan itu sah mendapatkan kapten Paris Saint Germain (PSG), Thiago Silva secara percuma.

Pertahanan berusia 35 tahun itu bersetuju untuk kontrak setahun dengan pilihan untuk menambah setahun lagi pada musim seterusnya bersama The Blues.

"Saya gembira menyertai Chelsea. Saya teruja menyertai sebahagian daripada skuad Frank Lampard untuk musim depan dan saya di sini untuk mencabar kejuaraan," kata Silva.

"Jumpa anda semua penyokong Chelsea. Saya tidak sabar beraksi di Stamford Bridge."

Silva menamatkan lapan tahunnya bersama kelab Perancis itu dengan kekalahan 1-0 di tangan Bayern Munich pada aksi final Liga Juara Juara, minggu lalu.

"Kami gembira untuk mengikat pemain yang berkelas dunia seperti Thiago Silva untuk pasukan ini," kata pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.

"Selepas beraksi di peringkat tertinggi, kami yakin pengalaman dan kualiti akan melengkapkan barisan pemain hebat yang sedia ada dalam pasukan ini."

Silva adalah pemain terbaharu Chelsea selepas pasukan itu sebelum ini berjaya mengikat Ben Chilwell, Timo Werner, Hakim Ziyech dan Malang Sarr.

Chelsea juga sedang dalam rundingan untuk menandatangani pemain tengah Bayer Leverkusen, Kai Havertz.

- AFP