--> Skip to main content

TH bentang laporan tahunan, penyata kewangan

LEMBAGA Tabung Haji (TH) membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi 2018 yang sudah diaudit di Parlimen, hari ini.

Laporan Penyata Kewangan TH 2018 dihantar kepada Jabatan Audit Negara (JAN) pada April 2019.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, memandangkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan kerajaan terdahulu adalah suatu perkara yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini, proses pengauditan oleh JAN memakan masa agak lama sehingga menyebabkan kelewatan untuk pembentangan laporan ini.

"Sijil Audit Bersih dari Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019.

"Pada masa sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan dari agensi kerajaan berkaitan yang mana ia diperoleh pada 19 Disember lalu dan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri seterusnya di Parlimen selepas mendapat persetujuan jemaah Menteri," kata kenyataan itu.

Katanya, Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi 2018 yang sudah diaudit tidak dapat dibentangkan pada 2019 berikutan sidang Parlimen berakhir pada 19 Disember 2019.

"Perancangan asal untuk laporan ini dibentang di Parlimen ketika sidang Parlimen pada Mac lalu.

"Bagaimanapun, ia juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh itu, laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen selepas diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos lalu.

"Bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi 2019, proses pengauditan masih lagi berjalan dan dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen," katanya.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji bagi 2018 (Telah Diaudit) boleh melayari laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my.