--> Skip to main content

TFC benam Sabah 4-0

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Sabah 4-0 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan pertama di laman sendiri itu sekali gus meletakkan skuad bimbingan Nafuzi Zain di tangga kedua liga pada 10 mata - tiga mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT).

Skuad Penyu yang masih lagi segar selepas menumpaskan PJ City 2-0 di laman lawan Sabtu lalu, dilihat mendominasi permainan sejak wisel permulaan ditiup pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Hasilnya pada minit ke-12, TFC berada di depan menerusi jaringan ayam tambatannya dari Mauritania, Dominique da Sylva berpunca daripada hantaran silang pemain muda meningkat naik, Muhammad Syafik Ismail.

PEMAIN TFC, Dominique Dal Sylva (dua dari kiri) cuba menjaringkan gol sambil dihalang oleh penjaga gol Sabah, Wan Muhamad Azraie aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi. - Foto Ghazali Kori PEMAIN TFC, Dominique Dal Sylva (dua dari kiri) cuba menjaringkan gol sambil dihalang oleh penjaga gol Sabah, Wan Muhamad Azraie aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi. - Foto Ghazali Kori

TFC memperoleh gol kedua pada minit ke-43 menerusi tolakan mengelirukan pemain import kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang mendapat umpanan kapten, Lee Tuck dalam kotak penalti.

Sepanjang babak pertama, skuad Tambadau yang dibimbing jurulatih kelahiran Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto tidak banyak mengasak kubu tuan rumah.

Pada minit ke-70, Shaakhmedov menyempurnakan gol ketiga pasukannya yang juga jaringan kedua peribadinya selepas memperdaya penjaga gol Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Penyerang Sabah, Petrus Shitembi hampir berjaya memperoleh gol pertama pasukannya pada minit ke-82 apabila bijak meloloskan diri, namun rembatannya hanya sedikit melintasi tiang gol tuan rumah.

Pada minit ke-84, pemain import kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli yang baru dimasukkan menambah derita pelawat apabila meledak gol keempat.