--> Skip to main content

Terus ke lokap selepas mendarat

HASRAT 16 warga Indonesia memasuki negara ini melalui lorong tikus gagal apabila ditahan polis di Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, 8.30 pagi, semalam.

Difahamkan, semua pendatang asing tanpa izin (Pati) itu datang dari Indonesia terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia 25 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan serbuan hasil maklumat orang awam.

"Semua Pati itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Agus Salim berkata, pihaknya memohon kerjasama penduduk supaya sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, penyeludupan dan Pati supaya tindakan segera dapat diambil bagi membanteras kegiatan itu.