--> Skip to main content

Terus berunding turunkan harga pelitup muka [METROTV]

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berunding dengan pengilang dan pembekal untuk menurunkan harga pelitup muka.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan pelitup muka adalah satu barangan keperluan digunakan hampir setiap masa, rundingan itu perlu dilaksanakan bagi meringankan beban orang ramai.

"Jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan ini akan meringankan sedikit beban saudara saudari sekalian," katanya dalam perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

PKPP yang tamat pada 31 Ogos ini dilanjutkan sehingga 31 Disember depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata, semua sektor sudah dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan.

"Ini adalah tempat apabila norma baharu agak sukar untuk diamalkan.

"Kemasukan pelancong asing masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes import ke dalam negara. "Bagaimanapun, aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton," katanya.

Muhyiddin berkata, selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung Covid-19 yang diurus Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihak ingin menyumbang kepada tabung itu boleh terus berbuat demikian.

"Sumbangan kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa Covid-19 dan menyediakan keperluan untuk membendung wabak ini," katanya.

Menerusi semangat sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 bertemakan Malaysia Prihatin, beliau menyeru semua pihak supaya sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab untuk membendung penularan wabak Covid-19.

"Kita semua adalah 'frontliners' yang berada di barisan paling hadapan untuk memerangi dan mencegah wabak ini.

"Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah wabak Covid-19, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat.

"Saya mendoakan semoga saudara dan saudari terus diberikan perlindungan daripada wabak ini dan sentiasa sihat sejahtera," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP