--> Skip to main content

Terserah kepada polis, AG

SLIM RIVER : Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Peguam Negara untuk menentukan tindakan seterusnya berhubung isu kegagalannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin.

Ditemui media pada program Jom Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Perak, beliau mengesahkan dipanggil ke Bukit Aman malam tadi untuk memberi keterangan selama dua jam.

Turut bersama beliau malam tadi, katanya, tiga orang ahli keluarga termasuk isterinya.

"Semalam saya sudah ke Bukit Aman. Itu kali pertama bukan dua kali seperti dilapor sesetengah media, media yang buat cerita tak betul kena tegur sikitlah. Baru semalam saya pergi dalam sekitar jam 8.45 malam hingga 10.45 malam.

"Dalam dua jam saya berikan keterangan yang patut sebagai saksi terhadap isu yang dibangkitkan. Itu saja.. bakinya tunggulah apa dia daripada pihak polis dan AG (Peguam Negara)....terpulanglah," katanya.

Mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan, Mohd Khairuddin berkata, ia tidak perlu memandangkan kesilapan yang dilakukan bukan membabitkan tugasnya sebagai seorang menteri.

"Ia tidak menjejaskan tumpuan kerja. Biasalah itu (desakan letak jawatan). Saya tidak buat salah yang membabitkan kerja saya tetapi satu kekhilafan dalam isu SOP.

"Saya tak mahu buat kenyataan panjang, saya serahkan kepada polis walau saya ada pandangan juga. Kementerian Kesihatan juga sudah keluarkan kenyataan dan bagi saya, ia selesa," katanya.

Beliau berkata, atas kekhilafan itu, gaji diterimanya sejak Mac hingga Ogos akan dipulangkan semula, namun dirinya masih meneruskan kerja-kerja seperti biasa.