--> Skip to main content

Terminal Feri Desaru Coast dijangka siap Jun 2021

JOHOR akan mempunyai pintu masuk antarabangsa baharu dengan pembinaan Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka siap Jun tahun hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dalam rangka lawatan dua hari ke negeri ini sempat meninjau pembinaan projek terminal feri berkenaan yang sedang giat dijalankan.

Muhyiddin yang diiringi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau tapak pembinaan terminal feri berkenaan yang terletak kira-kira enam kilometer dari Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Terminal feri yang dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) itu akan menjadi pintu masuk antarabangsa ke- 16 di negeri ini.

Ia sebahagian projek pembangunan bersepadu, Desaru Coast Destination Resort (Desaru Coast) yang dibangunkan dengan kos RM4.5 bilion.

Terdahulu, Muhyiddin yang tiba pada 3.15 petang diberi taklimat oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mengenai pembangunan bersepadu sektor pelancongan Desaru.

Muhyiddin melakukan lawatan rasmi dua hari ke Johor bermula semalam dan mengakhirinya di Desaru.

Semalam, beliau memulakan lawatan dengan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene.

Selepas menghadap Sultan Ibrahim, Muhyiddin menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Johor, sebelum merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Beliau kemudian menyertai tinjauan di B5 Street Market, Tampoi.

Malam tadi, beliau mengadakan pertemuan tertutup bersama kira-kira 300 pemimpin dan anggota politik Johor membabitkan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, MCA dan MIC, yang dikatakan membincangkan kerjasama politik dan masa depan hala tuju kerjasama di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.