--> Skip to main content

Terbabit judi, 5 premis dipotong bekalan elektrik

LIMA kedai runcit di Kuching, Sarawak dipotong bekalan elektrik hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Superintendan Awang Din Awang Gani berkata, pemotongan elektrik itu dibuat oleh kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

"Operasi dibuat di premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis akan mengambil tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan melaksanakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terbabit.

Katanya, dalam tempoh Sabtu hingga hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching membuat lima serbuan ke atas premis perjudian di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

"Kesemua suspek yang ditahan direman dan masih dalam siasatan polis," katanya.