--> Skip to main content

Tender projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 dibuka

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuka tender projek Landasan Berkembar Lembah Klang atau Klang Valley Double Track Project (KVDT 2) bagi memastikan ketelusan penggunaan dana awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pembukaan tender itu susulan kos projek semasa yang terlalu tinggi.

Katanya, Kabinet bersetuju bahawa pelaksanaan projek dengan bersandarkan kepada rundingan terus tidak boleh diteruskan.

"Sehubungan itu, proses bidaan untuk projek ini akan dilakukan secara tender terbuka mengikut prosedur yang betul, bukannya secara rundingan terus seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Perunding Pemeriksaan Berkecuali (ICC) akan dilantik sebelum kontraktor baharu dapat melaksanakan skop kerja yang diperlukan, untuk memendekkan tempoh pembinaan projek dari tujuh kepada lima tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, memendekkan tempoh itu adalah penting dan diperlukan kerana projek ini akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kira-kira 80,000 pengguna perkhidmatan KTM Komuter setiap hari.

Pada 5 Julai lalu, Kabinet Pakatan Harapan memutuskan untuk meneruskan projek KVDT 2 kepada kontraktor Dhaya Maju - LTAT Sdn Bhd dengan kos 15 peratus lebih rendah daripada RM5.265 bilion kepada RM4.475 bilion RM789.750 juta termasuk pengurangan skop kerja.

Bagaimanapun, pada Oktober 2018, perunding yang ditugaskan oleh MOT, Opus Consultants (anak syarikat Khazanah Nasional Bhd) mengemukakan Laporan Kajian Profesional (PPR) yang menyimpulkan bahawa kos projek tersebut dianggarkan hanya RM3.398 bilion berdasarkan skop kerja DM-LTAT yang asal.

"Maklumat ini tidak pernah dimaklumkan kepada kabinet ketika itu. Selepas mempertimbangkan hasil penelitian dan penyelidikan yang menyeluruh, Kementerian memutuskan bahawa kos projek semasa adalah terlalu tinggi.

"Susulan itu, Kabinet PN bersetuju bahawa pelaksanaan projek dengan bersandarkan kepada rundingan terus adalah tidak boleh diteruskan," katanya.