--> Skip to main content

Tender Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa 2) dibuka

TENDER Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa 2) atau Klang Valley Double Track Project (KVDT 2) akan dibuka seperti dipersetujui Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan sudah menyemak dengan teliti projek itu bagi mengoptimumkan penggunaan dana awam untuk projek infrastruktur berskala besar.

"Bagi mengoptimumkan penggunaan dana awam untuk projek infrastruktur berskala besar, kerajaan menyemak dengan teliti projek itu.

"Justeru itu, saya ingin mengumumkan tender untuk projek KVDT 2 akan dibuka seperti dipersetujui Kabinet," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Wee berkata, Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memutuskan untuk meneruskan projek itu kepada kontraktor Dhaya Maju - LTAT Sdn Bhd dengan kos peratus lebih rendah daripada RM5.265 bilion kepada RM4.475 billion iaitu RM789.750 juta termasuk pengurangan skop kerja pada 5 Julai 2019.

Bagaimanapun, beliau berkata, perunding ditugaskan Kementerian Pengangkutan iaitu Opus Consultants (anak syarikat Khazanah Nasional Bhd) sudah mengemukakan Laporan Kajian Profesional (PPR) pada Oktober 2018byang menyimpulkan kos projek itu dianggarkan hanya RM3.398 bilion berdasarkan skop kerja DM-LTAT asal.

"Maklumat ini tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet ketika itu. Selepas mempertimbangkan hasil penelitian dan penyelidikan menyeluruh, kementerian memutuskan kos projek semasa terlalu tinggi.

"Susulan itu, Kabinet Perikatan Nasional (PN) bersetuju pelaksanaan projek dengan bersandarkan kepada rundingan terus adalah tidak boleh diteruskan," katanya.

Beliau berkata, proses bidaan untuk projek itu akan dilakukan secara tender terbuka mengikut prosedur betul dan bukannya secara rundingan terus seperti dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, Perunding Pemeriksaan Berkecuali (ICC) akan dilantik sebelum kontraktor baharu dapat melaksanakan skop kerja diperlukan untuk memendekkan tempoh pembinaan projek dari tujuh tahun kepada lima tahun.

Katanya, langkah itu penting dan perlu memandangkan projek berkenaan akan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada kira-kira 80,000 pengguna komuter setiap hari.