--> Skip to main content

Temco Amanjaya: Mudahkan urusan petugas kesihatan - Exco

KERAJAAN Kedah berharap semua penduduk di Aman Jaya mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk melakukan saringan Covid-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, semua pihak perlu akur dengan arahan itu bagi memutuskan rantaian wabak yang semakin merebak akhir-akhir ini.

"Kita catat banyak kes positif daripada Kluster Tawar, ia disebabkan kita tak jaga diri sendiri, (justeru) patuhi arahan kerajaan dengan menjaga kebersihan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Penduduk yang perlu jalankan saringan, ikutlah arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita mudahkan urusan petugas kesihatan agar wabak ini dapat dikawal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hayati berkata, beberapa arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dikeluarkan dari semasa ke semasa terutama di luar kawasan Aman Jaya.

"Sebelum ini kita sudah ada pengalaman Temco di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap akibat penularan Kluster Sivagangga, cuma kali ini penduduk di Aman Jaya lebih ramai.

"Arahan PBT di kawasan lain ada yang sudah dikeluarkan, kita akan umumkan mengikut situasi semasa di kawasan terbabit," katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD Secara Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani akan dijalankan berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini sehingga satu tempoh yang akan diumumkan.

Katanya, arahan itu membabitkan Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Sungai Petani.