--> Skip to main content

Tangani ancaman KFR jadi keutamaan polis Sabah

IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah terus memperhebatkan kerjasama bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam kesiapsiagaan menghadapi sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk penculikan untuk wang tebusan (KFR) sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya tidak menafikan adanya ancaman KFR setiap kali pilihan raya dilaksanakan termasuk satu kes ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Oleh itu, pentingnya kita memperkukuhkan hubungan kerjasama antara IPK Sabah dan ESSCOM agar dapat menghalang segala ancaman di kawasan pantai timur.

"Saya sendiri pernah mengetuai ESSCOM sebelum ini dan perkara itu pastinya memberi kelebihan.

"Selain itu, kita bersama pihak risikan ESSCOM dan Bukit Aman turut bekerja keras dalam usaha menangani semua jenayah berkaitan rentas sempadan.

"Malah kita juga mempunyai hubungan sangat baik dengan pihak risikan di selatan Filipina serta Indonesia," katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabatnya di Kota Kinabalu, hari ini.

Ditanya perkara dibincangkan sempena kunjungan hormat itu, Hazani berkata, ia bertujuan menyampaikan visi dan misi beliau selaku Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.

Menurutnya, beliau akan memfokuskan kepada usaha menyelesaikan kegiatan jenayah berkaitan dadah, penyeludupan dan perjudian di negeri ini.

"Sabah ketika ini berada di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia bagi kegiatan penyeludupan rokok dan minuman selain negeri ini turut menjadi hab transit dadah untuk diseludup ke negara jiran.

"Melihat situasi ini, penting bagi polis negeri menanganinya hingga peringkat akar umbi," katanya.

Mengulas mengenai persediaan polis Sabah menjelang PRN, Hazani berkata, pihaknya bakal melaksanakan taklimat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya esok dan segala perkara berkaitan pilihan raya akan dimaklumkan selepas taklimat diadakan.