--> Skip to main content

Tak wajib bawa sejadah, warga asing dibenar ke masjid, surau mulai 1 September

INDIVIDU ingin solat berjemaah di masjid dan surau kini tidak lagi diwajibkan membawa sejadah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini untuk mencegah penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, namun kerajaan tetap menggalakkan individu yang ingin membawa sejadah sendiri.

"Berkenaan SOP solat berjemaah di masjid, terdapat keluhan orang ramai yang terlupa membawa sejadah ke masjid dan dihalang untuk menunaikan solat.

"Selepas mendengar rayuan daripada YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mesyuarat Khas Menteri hari ini bersetuju untuk tidak mewajibkan penggunaan sejadah di masjid.

"Namun, ia adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan. Masjid juga boleh jual pelitup muka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-161 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ke-77 di bangunan Parlimen, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mencadangkan jika ada pihak masjid yang mahu menjadikan kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, perkara itu boleh dilakukan.

Pada masa sama, katanya, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini dan KKM juga sudah bersetuju untuk membenarkan warga asing untuk solat berjemaah di masjid dan surau bermula 1 September depan.

"Namun, adalah ditegaskan warga asing perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini. Kita longgarkan sikit tetapi masih lagi tegas... dalam kes-kes tertentu mereka tidak dibenarkan berjemaah.

"Sebelum ini kita tidak membenarkan warga asing berjemaah (di masjid dan surau) selain diplomat dan duta. Kini, kita benarkan seramai mana yang boleh berdasarkan keluasan tempat.

"Bagaimanapun pihak masjid boleh tentukan jika tiada ruang mencukupi," katanya.