--> Skip to main content

Tahniah Mohd Zaidi, kemenangan bukti kesepakatan MN - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kemenangan Mohd Zaidi Aziz dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, membuktikan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO dan PAS mampu mewujudkan kesepakatan yang jitu untuk meraih sokongan pengundi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar itu turut membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti Barisan Nasional (BN) dan dasar yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Sehubungan itu saya mengucapkan tahniah kepada Mohd Zaidi atas kemenangan di Slim dengan majoriti besar...tahniah juga diucapkan kepada seluruh jentera pilihan raya yang membantu kemenangan calon BN ini.

"Saya berharap, Mohd Zaidi akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan cemerlang," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Mohd Zaidi menang bergaya di PRK Slim selepas meraih 13,060 undi, sekali gus menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran yang memperoleh 276 undi.

Pemangku Ketua UMNO, Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi selepas 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya dari BN, Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang, selepas mengadu kesukaran bernafas.