--> Skip to main content

“Syukur Rumah Impian Siap Walaupun Masih Hutang Bank”

Berkongsikan kegembiraan kepada peminat apabila rumah impiannya sejak 10 tahun lalu kini siap sepenuhnya, entri yang dimuat naik oleh pelawak popular Achey di Instagram menjadi perhatian netizen.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata meksipun mengambil masa lama namun dia tidak putus asa berusaha untuk memiliki apa yang diimpikankannya. Menerusi perkongsian itu, Achey turut memuat naik foto bersama rumah tiga tingkat impiannya.

BACA: Mak Ayah Tak Larat Naik Tangga, Achey Sanggup Ubah Suai Rumah

"Syukur, saya percaya doa orang sekeliling dan kalian juga membantu kekuatan kami untuk menyimpan dan merealisasikan 10 tahun impian untuk memiliki rumah sendiri.

"Walaupun masih hutang bank, tetapi ia juga menolak kami untuk tidak selesa dengan keadaan sekarang. Terus usaha dan percaya tanamkan sasaran serta jayakan sasaran itu meski bertahun lamanya," tulisnya.

Achey berkata sebelum ini banyak perniagaan yang diusahakannya tidak berjaya sehinggalah perniagaan yang dijalankannya kini mendatangkan hasil sekaligus membantu mereka sekeluarga.

"Bisnes juga sangat membantu. Banyak bisnes kami usahakan tidak berjaya sehinggalah kami jumpa bisnes yang tepat dan dapat membantu kami dan keluarga. Tapi, kami yakin pengalaman gagal itu adalah guru terbaik untuk semua insan," katanya.

10 tahun bukanlah waktu yang singkat, menurut Achey sepanjang tempoh tersebut banyak dugaan yang perlu dilaluinya. Namun dia bersyukur Allah permudahkan segalanya dan setiap dugaan diberikan ada hikmahnya.

"Dugaan? Penat dengan dugaan. Kuncinya syukur dengan dugaan itu kerana Allah berikan pada kami bersebab.

"Nak diceritakan terlalu panjang. Apa pun, terima kasih kepada beberapa rakan yang membantu kami sepanjang proses saya mendapat dan menyiapkan rumah ini," katanya.