--> Skip to main content

Syor Ku Li pandangan peribadi

KUALA LUMPUR: Syor disuarakan Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta pemimpin parti itu berundur dari jawatan Kabinet sebagai memprotes Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima bukan Melayu menjadi ahli adalah pandangan peribadi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ini kerana sebarang ketetapan diambil UMNO dibincang dan diteliti oleh Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang kenyataan yang dibuat di luar keputusan MKT UMNO termasuk oleh Tengku Razaleigh atau Ku Li yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO adalah bersifat pandangan peribadi.

"Keputusan UMNO menyertai Muafakat Nasional (MN) dan keputusan Ahli Parlimen UMNO menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditentukan atas keputusan MKT parti itu sendiri.

"Justeru, apa juga pandangan yang dikeluarkan selepas keputusan MKT UMNO dibuat, adalah pandangan peribadi semata-mata. Begitu juga dengan kenyataan dibuat Tengku Razaleigh yang mana saya melihatnya sebagai pandangan peribadi beliau.

"Namun, kita tetap menghormati pandangan yang dilontarkan beliau, " katanya melalui kenyataan, hari ini.

Tengku Razaleigh sebelum ini meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet kerajaan segera berundur daripada jawatan masing-masing susulan keputusan BERSATU menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Alasan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu adalah keputusan BERSATU itu menghilangkan kelayakan parti berkenaan sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung MN.

Ketika ini, sembilan Ahli Parlimen dari UMNO berada dalam Kabinet iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

UMNO dan PAS juga mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam - Annuar. Foto NSTP UMNO dan PAS juga mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam - Annuar. Foto NSTP

Sementara itu, Annuar berkata, kenyataan Tengku Razaleigh itu pendapat peribadi kerana UMNO tidak mencampuri dasar parti lain termasuk BERSATU yang ingin menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Beliau berkata, ia tidak menjadi isu kerana melalui dasar dan piagam MN sendiri menjelaskan bahawa muafakat itu menjunjung kepelbagaian kaum dan masyarakat majmuk di Malaysia, malah UMNO dan PAS sendiri mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam.

"Politik dan sentimen perkauman yang tebal sudah tidak sesuai lagi dalam politik Malaysia. Mungkin Ku Li terlupa UMNO dan PAS sendiri mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam.

"Dasar dan Piagam MN jelas kita meraikan kepelbagaian kaum di negara Malaysia yang majmuk ini, " katanya menerusi Twitter.