--> Skip to main content

Syor cuti kepada belia hadiri program pupuk patriotisme

KUALA LUMPUR: Golongan belia yang bekerja di agensi kerajaan atau syarikat swasta wajar diberi peruntukan cuti tujuh hari supaya dapat menghadiri program dan kursus bersifat kenegaraan, patriotisme dan perpaduan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata ia disebabkan golongan belia kurang diberi galakan untuk menghadiri program berkenaan, berbanding sebelum ini yang mudah mendapat peruntukan cuti.

"Sebab itu kalau kita lihat dulu program belia diberi ruang cuti oleh kerajaan tetapi hari ini makin kurang. Begitu juga kesusahan belia untuk mencari peruntukan kewangan.

"Maka kalau boleh, kita kembalikan seperti cuti tujuh hari kepada belia yang bekerja dengan kerajaan atau swasta tanpa potong gaji supaya mereka dapat menghadiri program kenegaraan, patriotik dan dapat menyemarakkan perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Malam Deklamasi Puisi Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2020, malam tadi.

Program itu menyaksikan persembahan deklamasi oleh 14 pemuisi daripada ahli MAYC di seluruh negara. Turut hadir ialah sasterawan negara Prof Dr Lim Swee Tin yang turut mempersembahkan puisi beliau.

Terdahulu, Zahidi dalam ucapan perasmiannya berkata, banyak pengorbanan dan sumbangan golongan belia kepada negara terutama ketika negara dilanda COVID-19.

"Apabila kita lihat golongan belia ini, kerajaan boleh bergantung harap. Contohnya apabila COVID-19, ramai belia di barisan hadapan. Bukan saja polis, tentera, kakitangan kesihatan dan barisan media, tetapi juga golongan belia," katanya. - BERNAMA