--> Skip to main content

Suspek panah monyet, biawak sedang dikesan

POLIS sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian penganiayaan terhadap monyet dan biawak yang dikatakan berlaku di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, sehingga kini hanya satu laporan polis diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian sudah dibuat dan tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian (Taman Persekutuan Bukit Kiara) lokasi video penganiayaan haiwan ditularkan.

"Setakat ini belum ada suspek dan tiada sebarang tangkapan yang dibuat oleh pihak polis.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, polis Brickfields meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Safwan di talian 019-3811029.

Harian Metro semalam melaporkan polis menerima satu laporan berhubung kejadian penganiayaan terhadap monyet dan biawak yang dikatakan berlaku di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan Jabatan Landskap Negara berhubung perkara itu pada 5.18 petang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menawarkan wang tunai RM5,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat lengkap berhubung kejadian terbabit.

Berita berkaitan

• 'Polis siasat kes panah monyet, biawak'

• 'RM5,000 hadiah tangkap pemanah monyet, biawak'