--> Skip to main content

Suspek bukan lagi anggota polis

KOPERAL polis yang ditahan selepas dipercayai menyamun wanita warga China di Jalan Perdana 3/10 Pandan Perdana, Ampang sudah diberhentikan kerja pada 2018 kerana terbabit kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata, suspek bukan lagi anggota polis kerana sudah diberhentikan pada 18 Julai 2018 kerana terbabit kes dadah di Terengganu.

Portal myMetro semalam melaporkan lelaki berusia 46 tahun itu ditahan selepas dipercayai menyamun wanita warga China.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail dilaporkan berkata, ketika kejadian, mangsa yang juga jurujual berusia 29 tahun sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kira-kira 7 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM5,000 dan kehilangan barangan peralatan solekan.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 29 saat menunjukkan seorang wanita ditarik dan disamun tiga lelaki tular di media sosial.

Berita berkaitan

• Koperal polis ditahan, samun wanita China