--> Skip to main content

SUPERB bantu usahawan Bumiputera kembang perniagaan

KUALA LUMPUR: Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) adalah platform pembentangan idea perniagaan terbaik kepada usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan dan menjadi lebih kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Kanan Keusahawanan dan Pembangunan Perniagaan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid berkata, sehingga kini 55 peratus daripada 183 pemenang program pembentangan idea perniagaan SUPERB berjaya mengkomersialkan produk dan perkhidmatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Lebih membanggakan, ada di antara mereka berjaya membawa produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran luar dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan memenangi beberapa anugerah.

"Antara syarikat yang berjaya adalah Macro Tech Ventures Sdn Bhd yang menawarkan platform perniagaan kepada perniagaan (B2B) menerusi Dropee.com. Kini syarikat itu mempunyai kira-kira 160,000 produk dalam platformnya," katanya kepada pemberita mengenai perkembangan terkini Program SUPERB di sini, hari ini.

Selain itu, Megat Mohd Yatim berkata syarikat Urban Mobility Asia Sdn Bhd pula menawarkan platform perkongsian kereta rakan setara menerusi aplikasi Moovby yang membolehkan penyewa menyewa mana-mana kereta daripada komuniti pemilik kereta persendirian pada bila-bila masa.

Katanya, Moovby berjaya mengembangkan jumlah kereta kepada lebih 2,500 buah dan menjana lebih 250,000 jam sewaan di samping meluaskan operasi di lapan negeri dan tiga wilayah di Indonesia.

Bagi tahun ini, Megat Mohd Yatim berkata program SUPERB yang berkonsepkan pertandingan pembentangan idea perniagaan itu menyasarkan 1,000 penyertaan dan pemohon perlu membentangkan idea perniagaan mereka menerusi video berdurasi dua minit.

Program SUPERB adalah inisiatif TERAJU yang memberi peluang pembentangan idea perniagaan kepada usahawan-usahawan permulaan perniagaan Bumiputera berumur 21 hingga 40 tahun yang berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam penghasilan produk dan perkhidmatan mereka.

Tema program SUPERB 2020 adalah berasaskan enam tema utama untuk memberikan kesan langsung kepada Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) iaitu ekonomi digital, Revolusi Industri 4.0, perusahaan sosial, ekonomi perkongsian, bidang seni dan kreatif, kesihatan, inovasi makanan dan pertanian.

Usahawan yang mempunyai idea perniagaan atau pada peringkat prototaip yang berjaya di peringkat akhir SUPERB berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan berjumlah sehingga RM100,000.

Perniagaan yang sudah berada di fasa pra-komersial atau pengkomersialan pula berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan sehingga RM500,000.

Megat Mohd Yatim berkata sejak SUPERB dilancarkan pada 2014, sebanyak RM91.5 juta geran pembangunan perniagaan telah diperuntukkan kepada para pemenang bagi merealisasikan idea dan membawa perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"TERAJU sentiasa cuba menambah baik program SUPERB pada setiap tahun dari segi kualiti, pengisian program dan sistem penyampaian supaya ia terus relevan dan mempunyai nilai tambah yang berguna kepada usahawan-usahawan permulaan bumiputera.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web superb.teraju.gov.my. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Ogos ini.

– BERNAMA