--> Skip to main content

Sumbang RM1 bagi tabung penyelidikan neurosains

HANYA dengan sumbangan RM1, rakyat Malaysia berpeluang menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan penyelidikan otak, minda dan neurosains iaitu bidang kritikal amat penting dalam dunia perubatan di negara ini.

Langkah proaktif diperkenalkan Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) itu bertujuan memastikan penyelidikannya dapat diteruskan dalam usaha melahirkan penyelidikan berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pensyarah dan Pakar Neurosurgeri Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pengasas YPOMNM, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, penyakit atau gangguan berkait otak, minda atau mental dan sistem saraf kini menjadi masalah kesihatan utama bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.

"Penyelidikan berkaitan dengan otak, minda dan neurosains akan menghasilkan data penting bagi mencegah, merawat dan mengubati penyakit berkenaan.

"Namun, penyelidikan dalam bidang ini di negara kita masih lagi sedikit disebabkan kekangan sumber manusia dan peruntukan bagi melaksanakannya," katanya kepada NSTP, hari ini.

YPOMNM ditubuhkan sejak 2017 dan diperakukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan selain mendapatkan dana serta sumbangan kepada penyelidik aktif yang berminat untuk menjalankan sebarang penyelidikan berkaitan.

Jafri berkata, YPOMNM akan melancarkan projek 'Donations For Malaysian Brain Initiative Project 2020/2021: Aiming RM1 Per One Malaysian Citizen' bermula September depan bagi mencari dana kelangsungan penyelidikan terbabit.

Projek itu adalah aktiviti YPOMNM yang serupa dengan konsep 'Mega Brain Initiatives" sejak 2017 di tujuh negara iaitu 'US Brain Initiative', 'Canadian Brain Research Strategy', 'EU Human Brain Project', 'China Brain Project', 'Australian Brain Alliance', 'Korean Brain Initiative' dan 'Japan Brain/Minds'.

"Sehubungan itu, YPOMNM berharap projek 'Malaysian Brain Initiative' menerusi kempen mengumpulkan RM1 daripada sekurang-kurangnya 15 juta rakyat Malaysia dapat membantu menambah dana serta mewujudkan geran penyelidikan pengetahuan asas, klinikal dan berkait dengan neurosains.

"Dana itu akan digunakan bagi membiayai geran penyelidikan kepada institusi atau penyelidik berkelayakan dengan tujuan mewujudkan pangkalan data mengenai penyakit neurologi dan psikologi tempatan," katanya.