--> Skip to main content

Suami isteri antara enam suspek edar dadah

SUAMI isteri antara enam individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di Puchong, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, dalam serbuan pertama di rumah di Jalan Puteri, pihaknya menahan lima individu membabitkan seorang lelaki tempatan dan empat wanita Vietnam pada 3.30 petang.

"Lima suspek itu berusia antara 21 hingga 33 tahun termasuk pasangan suami isteri.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui empat peket plastik mengandungi serbuk dipercayai ekstasi seberat 81 gram (g) dan 14 peket plastik lutsinar disyaki berisi ketamin seberat 70g," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Latiff berkata, hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap semua suspek berkenaan didapati positif dadah.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, suspek lelaki itu dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dengan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki di kawasan Puchong.

"Hasil maklumat diterima, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di Bandar Puteri, Puchong dan merampas 320g serbuk ekstasi dan 30g pada 5 petang hari sama.

"Kami menyita tiga kereta Toyota Vios dan Toyota Camry serta wang tunai RM1,000 dalam dua operasi berkenaan.

"Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM29,035 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.