--> Skip to main content

SPRM terima memorandum projek rundingan terus

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima beberapa memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung isu pemberian 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus semasa pemerintah kerajaan terdahulu.

"Satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini.

"Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk memberikan ruang kepada suruhanjaya ini untuk meneliti perkara berkenaan," katanya hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat gamat selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara.

Ketika mencelah, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa keseluruhan projek terbabit tidak pernah dibentangkan ke Kabinet sebelum ini.

Mengulas mengenainya, Guan Eng dipetik berkata, bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sudah lupa daratan dan pakar kelentong.