--> Skip to main content

SPRM tahan 11 individu syarikat kejuruteraan kapal [METROTV]

SERAMAI 11 individu termasuk seorang pengurus operasi syarikat kejuruteraan perkapalan direman selama 4 hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bernilai kira-kira RM750,000.

Ia didakwa berkaitan projek pembaikan kapal dari tahun 2015 hingga 2019.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 21 Ogos hadapan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Menurut sumber, suspek membabitkan seorang pengurus operasi maritim serta selebihnya kakitangan eksekutif berumur antara 37 hingga 56 tahun.

SERAMAI 11 individu yang ditahan SPRM selepas disyaki menerima rasuah. SERAMAI 11 individu yang ditahan SPRM selepas disyaki menerima rasuah.

"Semua mereka ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru dan sekitar negeri itu dalam operasi dijalankan sejak awal pagi semalam.

"Difahamkan, kesemua suspek terbabit meminta dan menerima wang rasuah daripada dua syarikat kontraktor sebagai balasan memberikan projek pembaikan kapal dan mempercepatkan proses tuntutan pembayaran.

"Suspek dikatakan meminta kedua-dua syarikat kontraktor berkenaan supaya membayar rasuah secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.