--> Skip to main content

SPRM Sabah buka 49 kertas siasatan berkaitan dokumen palsu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah membuka sebanyak 49 kertas membabitkan kesalahan mengemukakan dokumen palsu sejak tahun lalu.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Katanya, seramai 46 individu ditahan setakat ini dan 38 daripadanya dituduh di mahkamah.

"Daripada jumlah itu, 13 individu mengaku salah manakala 25 lagi memohon untuk dibicarakan.

"Kebanyakan individu yang ditahan itu melakukan kesalahan pemilikan kontrak berkaitan bekalan makanan untuk kantin dan asrama sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan penerangan ketika Seminar Integriti di Kota Kinabalu, hari ini.

Seminar anjuran bersama Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS) dan SPRM itu dihadiri kira-kira 250 peserta terdiri daripada kontraktor.

Dalam pada itu, Karunanithy berkata pihaknya merancang melaksanakan seminar sama di Sabah untuk meningkatkan kefahaman orang awam khususnya kontraktor berkaitan kesalahan mengambil rasuah.

"Kita juga mahu memastikan semua kontraktor di negeri ini tidak mengemukakan sebarang dokumen sokongan palsu semata-mata hanya untuk mendapatkan sesuatu kontrak," katanya.

#kw SPRM, dokumen, palsu, Sabah