--> Skip to main content

“Soal Bermadu, Biarlah Kami Saja Yang Tahu”

Belum sampai sebulan mendirikan rumah tangga pada 26 Julai lalu, sudah ada cerita tak sedap didengar apabila timbul dakwaan pelakon Miera Leyana dikatakan hidup bermadu.

Malah, Miera bernikah dengan jejaka pilihan hati Rosland Othman, 47 tahun yang merupakan seorang usahawan dikatakan sudah berkahwin dan memiliki tujuh anak perempuan. Difahamkan, segala dakwaan itu didedahkan menerusi satu video di YouTube yang kini tular.

BACA: Miera Leyana Bahagia Kahwini Lelaki Berusia

Tidak menafikan mahupun mengiyakan bergelar isteri kedua, Miera berkata sesiapa sahaja boleh membuat andaian tersebut. Ujarnya, dia dan suami hidup bahagia dan dia percaya bahawa hal jodoh itu adalah rahsia Allah.

"Sesiapa sahaja bebas membuat andaian, namun adilkah melemparkan spekulasi negatif pada sebuah masjid yang baru dibina?

"Sebagai orang Islam, kita kena percaya rahsia jodoh sukar dirungkai dan diduga. Begitu juga ikatan perkahwinan saya dengan suami.

"Soal hidup bermadu, biarlah hanya kami sahaja tahu. Saya dan suami bahagia, tak menganiayai hidup sesiapa dan spekulasi ini dicetuskan orang luar," katanya kepada BH Online.

Menurut Miera lagi dia tidak takut kerana mereka tidak melakukan perkara yang salah di sisi agama dan perkahwinan mereka direstui keluarga. Ujarnya, dia melakukan perkara yang salah, mereka boleh sahaja berkahwin di luar negara.

"Saya dan suami tak membuat perkara salah di sisi Allah dan agama. Kami membina rumah tangga atas dasar cinta dan memperoleh restu kedua-dua keluarga.

"Kami tidak sorok perkahwinan, malah satu Malaysia tahu, saya kini bergelar isteri Rosland. Majlis pernikahan juga diadakan secara terang-terangan.

"Jika mahu membohongi sesiapa, kami boleh berkahwin di luar negara dan bernikah menerusi talian. Tiada seorang pun akan tahu kami sudah berkahwin, melainkan ahli keluarga," katanya.

Terdahulu, Miera dan Rosland bernikah pada 26 Julai lalu dalam majlis mewah dan meriah yang diadakan di hotel terkemuka di ibu kota dengan kehadiran ramai tetamu kenamaan.