--> Skip to main content

Siti Nurhaliza Jayakan Konsert Maya Interaktif 360 Darjah!

Siti Nurhaliza Jayakan Konsert Maya Interaktif 360 Darjah! Sejak 3 Julai lalu, industri muzik Malaysia kembali rancak apabila figura muzik tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan album terbaharunya 'ManifestaSITI2020'.

Selepas suram dilanda situasi ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 yang membadai dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan yang membantut aktiviti seni, kemunculan album Siti datang tepat pada waktunya bagi merancakkan kembali dunia seni.

Album yang mendapat makluman positif daripada pendengar muzik tempatan itu, bukan sahaja mendapat sambutan hangat di platform digital, malah album fizikalnya juga laris dijual.

Sempena pelancaran album ini, penyanyi lagenda negara ini menjayakan sebuah konsert interaktif dalam talian, Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool,  pada 21 Julai 2020 yang lalu. 

Konsert yang menelan kos perbelanjaan hampir RM180,000.00 ini mengambil inspirasi daripada konsert dalam talian yang pernah dianjurkan di Korea dan Thailand sebelum ini.

Menggunakan aplikasi sidang video Zoom, konsert interaktif dalam paparan 360 darjah ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekaligus menjadikan Siti sebagai artis pertama yang terlibat dalam konsert dalam talian berskala besar.

"Konsert ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti promosi album ManifestaSITI2020 dan ini merupakan pengalaman baru saya kerana menjayakan sebuah konsert maya yang bersifat interaktif.

"Peminat bukan sekadar boleh menonton persembahan saya dari rumah masing-masing tetapi mereka juga berpeluang berinteraksi  dengan saya.

"Saya berasa sangat berpuas hati kerana dapat menghiburkan para peminat yang terpilih di layar Zoom dan ini mendekatkan kami walaupun Malaysia masih didalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," kata Siti.

Bagi peminat yang ketinggalan menyaksikan konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool ini secara langsung pada tempoh hari, anda kini boleh menyaksikan video rakaman konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool yang akan dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 12 Ogos 2020 bermula daripada jam 7 pagi hingga 9 pagi!