--> Skip to main content

Singapura perketat syarat pas pekerja

SINGAPURA: Singapura menaikkan kriteria gaji bagi Pas Pekerjaan (EP) dan Pas Semasa menetapkan syarat gaji lebih tinggi buat julung kalinya dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Bagi EP, ia akan terus meningkat kepada S$4,500 (RM13,725) bagi semua pemohon baharu mulai 1 September depan, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia (MOM) republik itu, dalam laman sesawangnya.

Gaji kelayakan minimum bagi EP yang membolehkan profesional, pengurus dan eksekutif warga asing bekerja di Singapura dinaikkan kepada S$3,900 (RM11,895) mulai 1 Mei lalu.

MOM berkata gaji yang layak bagi calon EP lebih tua serta berpengalaman pada usia 40-an akan dinaikkan dan kekal sekitar dua kali ganda gaji kelayakan minimum pemohon paling muda.

Bagi pemohon yang memperbaharui pas, semua kriteria gaji baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Mei 2021.

"Kriteria kerajaan bagi meluluskan pas kerja telah dikemas kini secara berkala bagi membolehkan perniagaan berkembang dan menyokong peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan," menurut MOM.

Sejak pelarasan yang diumumkan dalam Bajet 2020, baru-baru ini, kerajaan memantau rapat kesan pandemik COVID-19 ke atas situasi ekonomi global dan domestik bagi menilai jika kemas kini lanjut perlu dibuat, katanya.

Mulai 1 Disember depan, gaji kelayakan minimum bagi EP dalam sektor Perkhidmatan Kewangan akan terus dinaikkan kepada S$5,000 (RM15,250) bagi pemohon baharu.

Kriteria gaji baharu bagi EP yang berkuat kuasa mulai 1 September depan akan turut diguna pakai dalam sektor Perkhidmatan Kewangan yang menurut kementerian itu "secara konsisten adalah lebih tinggi berbanding sektor lain."

MOM juga berkata gaji yang layak bagi calon EP lebih tua dan berpengalaman dalam sektor Perkhidmatan Kewangan akan dinaikkan dengan mereka yang berusia 40-an perlu memenuhi kriteria kira-kira dua kali ganda gaji kelayakan minimum untuk pemohon paling muda.

Bagi pemohon yang memperbaharui pas, semua kriteria gaji baharu ini akan berkuat kuasa mulai, 1 Mei 2021.

Bagi Pas S yang membolehkan pekerja mahir peringkat pertengahan bekerja di Singapura, syarat gaji turut dinaikkan namun tiada perubahan terhadap levi dan kuota.

Gaji kelayakan minimum Pas S akan terus dinaikkan dari S$2,400 (RM7,320 kepada S$2,500 (RM7,625) dengan gaji yang layak bagi calon Pas S lebih tua dan berpengalaman dikaji semula.

Perubahan gaji kelayakan bagi Pas S akan terpakai kepada pemohon baharu mulai 1 Oktober depan dan pemohon yang memperbaharui pas mulai 1 Mei 2021.

Tiada perubahan lanjut bagi levi dan kuota dalam pelarasan kali ini, menurut kementerian itu. BERNAMA