--> Skip to main content

Sindiket edar arak seludup bernilai RM1.95 juta tumpas

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran arak seludup dalam serbuan di Kampung Kadut, Segamat, Johor, semalam.

Serbuan pada 7.40 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pasukan menyerbu sebuah premis di lokasi berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang berada di premis itu.

"Hasil pemeriksaan menemui 1,871 kotak minuman keras beralkohol yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini dan tidak mempunyai cukai kastam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad berkata, terdapat dua jenis minuman keras yang dirampas iaitu 42,672 tin minuman keras jenis bir pelbagai jenama dan 2,916 botol minuman keras jenis whiski pelbagai jenama.

Katanya, kesemua rampasan itu bernilai lebih RM1.95 juta.

"Kita percaya melalui serbuan itu dapat melumpuhkan sindiket pengedaran arak jenis bir dan whiski tanpa cukai di sekitar Segamat, Johor dan Muadzam serta Kuantan, Pahang," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Justeru, beliau menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.