--> Skip to main content

Sime Darby catat untung RM820 juta

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd (Sime Darby) mencatatkan untung bersih RM820 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 (TK2020), meskipun menghadapi cabaran pasaran ekoran penularan COVID-19 pada separuh kedua tahun kewangannya.

Prestasi kekal memberangsangkan konglomerat itu disokong pendapatan lebih tinggi kepada RM36.93 bilion, berbanding RM36.16 bilion pada TK2019.

Bagi tempoh dikaji, Sime Darby mencatatkan untung bersih dasar 9.5 peratus lebih tinggi kepada RM1.04 bilion, berbanding RM950 juta yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Mengulas mengenainya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata prestasi memberangsangkan bahagian Perindustrian di Australia dan China serta jualan kukuh BMW dari bahagian Automotif di China pada separuh pertama TK2020 membantu mengurangkan kesan penularan COVID-19 dan rosot nilai syarikat.

"Sime Darby mencatatkan keputusan yang memberangsangkan bagi separuh tahun pertama disebabkan prestasi yang kukuh dari kedua-dua bahagian Perindustrian dan Automotif. Kepelbagaian sektor pasaran dan geografi operasi kami telah memberikan kelebihan strategik kepada perniagaan.

"Bagaimanapun, sekatan pergerakan dari Februari hingga Mei telah menjejaskan operasi perniagaan pada separuh kedua. Namun, perniagaan menyaksikan pemulihan penjualan yang sangat baik selepas sekatan pergerakan dilonggarkan," katanya pada taklimat media prestasi kewangan Sime Darby di sini, hari ini.

Meskipun untung bersih yang dicatatkan Sime Darby kekal memberangsangkan di tengah-tengah persekitaran perniagaan mencabar akibat pandemik, namun ia lebih rendah berbanding RM948 juta yang dicatatkan TK2019.

Jeffri berkata, perniagaan pengedaran Caterpillar di Australia menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mampu menampung kekurangan di bahagian lain yang terjejas disebabkan sekatan pergerakan.

"Daya tahan prestasi operasi serta usaha kami dalam menambah baik modal kerja telah menghasilkan peningkatan yang ketara kepada aliran tunai operasi kumpulan kepada RM3 bilion TK2020 berbanding RM1.35 bilion tahun lalu.

"Aliran tunai operasi yang kukuh dan nisbah gearing yang secara relatifnya rendah pada tahap 0.26x, meletakkan Sime Darby di kedudukan yang baik dalam menangani masa hadapan yang tidak menentu," katanya.

Sime Darby memperuntukkan rosot nilai lebih RM200 juta tahun ini terutamanya bagi Weifang Port Services Co dan unit pelaburannya di Eastern & Oriental Bhd.

Untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) kumpulan itu merosot 14.2 peratus secara tahunan kepada RM315 juta pada suku keempat TK2020, sebahagian besarnya disebabkan kesan COVID-19 yang menjejaskan hasil dan keuntungan.

Bagi suku tahun terakhir 2020, untung bersih Sime Darby merosot 3.8 peratus kepada RM177 juta berbanding RM184 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Berdasarkan prestasi yang dicatatkan, Sime Darby mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 7 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 1 sen sesaham, bersama dengan dividen interim sebanyak 2 sen sesaham yang dibayar sebelum ini.

Jumlah dividen keseluruhan bagi tahun yang dilaporkan adalah berjumlah 10 sen sesaham.

Menuju ke hadapan, Jeffri berkata, prospek perniagan Sime Darby dijangka kembali positif selepas vaksin COVID-19 ditemui dan dapat dikomersialkan secara meluas.

"Kami sangat jelas dengan strategi yang akan dilaksanakan di mana Sime Darby akan menguruskan pulangan perniagaan secara berhemah termasuk imbangan kira-kira. Tumpuan adalah keuntungan dan kembali berkembang pasca COVID-19.

"Kita juga menyasarkan untuk meneruskan inisiatif melupuskan perniagaan bukan teras, selain memberi tumpuan kepada segmen hospital yang memberi sumbangan yang sangat baik ketika ini.

"Sime Darby merancang untuk membangunkan lebih banyak rangkaian hospital dan melihat semula potensi pengambilalihan bagi memperkasakan lagi segmen ini," katanya.