--> Skip to main content

Sherman tak sabar gegar gawang PDRM

ALOR SETAR: Penyerang import Kedah, Kpah Sherman mahu melupakan seketika masalah tunggakan gaji dan sebaliknya menumpukan perhatian terhadap aksi Liga Super menentang PDRM di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Menurut pemain kelahiran Liberia ini, sasarannya pada perlawanan pertama pada saingan disambung semula selepas berehat lima bulan adalah untuk membolosi gawang lawannya itu.

"Sudah pasti semua penyerang mengimpikan melakukan jaringan. Kini saya berazam kembali 'bermula' di mana aksi Liga Super yang terhenti kira-kira lima bulan lalu akibat pandemik COVID-19.

"Saya bersama pasukan kini sudah bersedia menyahut cabaran perlawanan penting yang akan kami ditempuhi Sabtu ini. Dan pastinya saya mahu memulakan dengan kejayaan membanggakan buat seluruh penyokong Kedah.

"Walaupun segala permasalahan berkaitan tunggakan gaji belum selesai sepenuhnya, tapi bila saya berada di atas padang, saya mahu pastikan tanggungjawab saya untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan itu dengan semangat 100 peratus," katanya.

Selepas empat perlawanan Liga Super, Sherman sudah menjaringkan tiga gol untuk Kedah iaitu masing-masing satu ketika menentang Terengganu FC, UiTM FC dan Selangor.