--> Skip to main content

Seragamkan harga barang keperluan asas

HARGA barangan keperluan asas akan diseragamkan menerusi Program Penyeragaman Harga bagi membolehkan rakyat khususnya di kawasan pedalaman tidak dibebankan dengan peningkatan kos.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, harga barangan keperluan asas itu kelak akan diseragamkan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, ia antara inisiatif yang akan dilaksanakan kementeriaannya dalam usaha untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

"Kerajaan akan menghapuskan monopoli atau kartel bagi industri tertentu yang boleh diliberalisasikan supaya wujud persaingan sihat yang membolehkan pengguna membeli barangan dengan harga yang lebih kompetatif.

"KPDNHEP juga memperkasakan medium interaktif secara meluas bagi memudahkan rakyat membuat perbandingan harga melalui aplikasi pintar PriceCatcher dan mengemukakan aduan menerusi aplikasi Ez Adu," katanya ketika Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rosol (Bersatu-Hulu Terengganu) berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai langkah terperinci kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.

Dalam penjelasan untuk soalan tambahan yang dikemukakan Saifuddin mengenai Majlis Tindakan Kos Sara Hidup, Rosol memaklumkan kerajaan masih meneruskan peranan majlis berkenaan.

Beliau berkata, Jawatankuasa majlis berkenaan akan bermesyuarat September ini dan ia adalah satu daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.