--> Skip to main content

Sembunyi dadah bersama coklat

CUBAAN lelaki menyembunyikan dadah dalam bungkusan teh dan bijiran bercampur coklat bagi mengaburi pihak berkuasa gagal selepas ditahan polis di tepi jalan di Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Dalam kejadian 4.30 petang, suspek berusia 46 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan polis merampas sebuah beg galas milik lelaki itu mengandungi dua plastik bertulis bijiran bercampur coklat dan teh.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 1,000 gram dan syabu seberat 1,000 gram.

"Siasatan awal pihak polis mendapati suspek mengaku memperolehi dadah daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama panggilan 'Fecau' di Segambut, Kuala Lumpur.

"Semakan juga mendapati suspek memiliki rekod jenayah berkaitan kes dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan masih dijalankan ke atas suspek bagi melihat pembabitannya terutama dalam kes pengedaran dadah di daerah (Petaling Jaya) ini," katanya.