--> Skip to main content

'Jangan selesa dengan kemenangan di Slim'

PUTRAJAYA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim semalam, bukan alasan untuk menjadi selesa dalam berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata jika pemimpin dan ahli parti bersikap yakin boleh menang, ia meletakkan mereka dalam zon bahaya.

"Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) BN menang besar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, jadi ramai yang kata kita akan menang dengan mudah.

"Pada PRU-14 lalu kita tahu apa yang berlaku. Saya nak ingatkan diri saya dan pemimpin parti jangan selesa. Menang semalam bukan bermakna menang mudah untuk Sabah.

"Selepas ini saya akan hubungi semua jentera parti dari jam 2 petang hingga malam ini untuk buat persiapan pelan untuk PRN Sabah. Tidak perlu ambil mudah. Untuk PRU akan datang juga berlainan," katanya kepada pemberita, hari ini.