--> Skip to main content

Selangor sumbang RM10,000 tabung kebajikan bomba

SHAH ALAM: Selangor menyumbangkan RM10,000 kepada Tabung Kebajikan Anggota Bomba bagi membantu keluarga dan anggota bomba yang memerlukan bantuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu juga tanda sokongan kerajaan negeri di atas usaha murni Jurulatiah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu Baru, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, yang sedang melakukan misi Kayuhan Amal Berbasikal Secara Solo ke 63 balai di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Hanya berbaki 60 kilometer lagi untuk beliau sampai ke destinasi iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Putrajaya.

"Saya lihat tujuan kayuhan ke 63 balai bomba ini untuk kebaikan dan saya datang berikan sokongan di samping menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada badan kebajikan dan hasil usaha beliau untuk kebajikan bomba serta keluarga mereka.

"Ia adalah sebahagian dari usaha kita untuk meraikan kemerdekaan negara kita yang simbolik dengan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara," katanya pada media pada majlis penyampaian sumbangan dan menyambut ketibaan Mohd Fakhrul Munir di Ibu Pejabat JBPM Negeri Selangor, di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Mohd Fakrul Munir Mohd Isa yang sedang melakukan misi Kayuhan Amal Berbasikal Solo di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Mohd Fakrul Munir Mohd Isa yang sedang melakukan misi Kayuhan Amal Berbasikal Solo di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Kayuhan solo Mohd Fakhrul Munir ke 63 balai bomba seluruh Semenanjung Malaysia dengan slogan 'Mencari Hati Emas' itu dianjurkan oleh ABPM Wilayah Tengah bagi mengutip dana membantu keluarga dan anggota bomba.

Program itu juga diadakan bersempena menyambut bulan kemerdekaan tahun ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis dan Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md Ali Ismail.

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga bekerjasama sebaik mungkin dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat membabitkan pelbagai isu berkaitan pasukan itu terutamanya keperluan penambahan balai bomba di Selangor.

"Dalam taklimat sebelum ini, kita memaklumkan sedang usahakan tapak dan kawasan balai dan juga mengurangkan tekanan kepada satu-satu balai kerana pertumbuhan lokaliti yang agak besar di Selangor.

"Justeru kita tumpu hal berkenaan sebab urusan naik taraf balai terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Jadi bidang kuasa kerajaan negeri memastikan tapak sesuai, lokaliti sesuai dan memberikan kos sebaiknya kepada urusan tanah mereka. Lokasi balai, pihak bomba yang akan tetapkan yang mana lokasi sesuai. Ada sebahagian sudah diluluskan dari masa ke semasa," katanya.