--> Skip to main content

Seksanya menderita pelbagai penyakit

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan tepat menggambarkan penderitaan Mohd Zaid Che Badrolddin selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada Februari lalu.

Lebih menyedihkan, Mohd Zaid, 46, bukan sahaja menderita penyakit buah pinggang, malah turut menghidap penyakit saraf, kencing manis, darah tinggi dan masalah hati.

Menurut isterinya, Nur Hapidah Ahmad, 41, sebelum ini suaminya bekerja sebagai tukang paip untuk menyara keluarga, namun sejak Disember tahun lalu, dia terpaksa berhenti kerja kerana tahap kesihatannya semakin merosot.

"Berikutan penyakit buah pinggang dan komplikasi beberapa penyakit lain, suami saya kini hanya mampu terbaring sejak Mac lalu selepas kedua-dua belah kakinya semakin membengkak dan sembab di seluruh anggota badan selain pandangan matanya semakin kabur.

"Malah hospital ibarat 'rumah kedua' selepas suami kerap dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas disebabkan pelbagai penyakit dialaminya.

"Pada minggu lalu dia baru sahaja menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bagi membuang lebihan air di paru-paru," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, semalam.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Akidi Hamid yang turut menyampaikan sumbangan kewangan untuk meringankan beban ditanggung.

Katanya, selepas suaminya sakit, kini dia terpaksa mengambil alih serta menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menampung perbelanjaan tiga daripada enam anaknya yang masih bersekolah.

"Bagi meneruskan kelangsungan hidup kami anak beranak, pada awal tahun ini, saya membuka gerai menjual roti canai dan makanan segera di hadapan rumah dengan pendapatan tidak menentu.

"Jika ada rezeki saya mampu memperoleh RM100 sehari. Bagi meringankan beban ditanggung, ada kalanya anak kedua, Che Nur Arina,18, turut membantu saya mengambil upah membeli dan menghantar barang dipesan penduduk dengan kadar upah RM10 hingga RM20 bergantung kepada permintaan.

"Selain itu, anak sulung, Che Mohd Asyraf, 20, yang bekerja di kedai makan di Selangor dengan pendapatan yang sekadar cukup makan, ada kalanya mengirim wang untuk perbelanjaan adiknya di kampung," katanya.

Nur Hapidah berkata, setiap bulan dia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk perbelanjaan suami selain bayaran sewa rumah RM400 sebulan.

"Bagi keperluan suami, saya perlu membelanjakan kira-kira RM300 hingga RM400 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan ada kalanya jiran tetangga turut menghulurkan sumbangan lampin pakai buang.

"Mujurlah, tiga anaknya yang masih bersekolah berusia antara 6 hingga 15 tahun masing-masing mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan setiap seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan persekolahan mereka," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nur Hapidah di talian 011-37535121.