--> Skip to main content

“Sejak Dua Tahun Lalu Saya Tak Putus Doa Jadi Insan Lebih Baik”

Benarlah bahawa Hidayah itu milik Allah. Siapa sangka pelakon dan penyanyi Kilafairy yang sangat sinonim dengan imej seksi mampu berubah dalam sekelip mata apabila tampil berhijab

Kilafairy berkata hidayah yang diterima merupakan hadiah yang tidak boleh ditukar ganti. Bagaimanapun, Kilafairy enggan bercerita mengenai petunjuk yang diterima dan hanya berkongsi dengan insan rapat.

BACA: Ibu Mahu Kilafairy Cepat Tamatkan Zaman Bujang

"Saya selesa tidak bercerita mengenai petunjuk yang diterima hingga mengubah dimensi diri dan kehidupan.

"Jujurnya, saya tak putus berdoa mahu menjadi insan lebih baik dalam setiap sujud sejak dua tahun lalu. Doa saya, jika benar berikanlah saya petunjuk.

"Alhamdulillah, detik itu datang bagai rahmat yang tidak terduga. Jadi, kita harus terus berdoa memohon hajat hati. Jangan mengalah, berhenti dan penat memanjangkan doa. Doa sangat mustajab dan berkuasa. Ia senjata orang Islam," katanya kepada BH Online.

Diberi peluang untuk berhijrah ke arah lebih baik pada usia muda, Kilafairy bersyukur saat beroleh hidayah. Malah, dia akui tenang saat keluar rumah dengan memakai hijab.

"Saya percaya soal cepat atau lambat pasti wujud dalam sesuatu perkara. Ia termasuklah fasa yang saya lalui hari ini.

"Papa pula selalu bertanya apa yang dirasai selepas saya bertudung dan keluar rumah. Saya balas hanya satu jawapan iaitu lega. Benar, ketenangan yang diperoleh tidak boleh dijual beli," katanya.

Dalam pada itu, Kilafairy berkata keputusannya untuk berhijab itu adalah untuk membahagiakan membahagiakan ibu bapanya. Malah, ibu bapanya sangat gembira dengan penghijrahannya itu.

"Inilah momen paling bahagia apabila dapat membahagiakan hati ibu bapa. Doa mereka akhirnya dimakbulkan.

"Sekarang, ibu bapa sudah tidak takut mahu meninggalkan saya seorang diri. Malah, saya juga ada beberapa perkara yang ingin lakukan dalam hidup.

"Ia seperti satu matlamat dalam mengimbangi kehidupan. Cuma, belum masanya saya berkongsi. Saya berdoa apa yang dihajati dipermudahkan," katanya.