--> Skip to main content

Sazali resah meskipun NS menang

SEREMBAN: Walaupun menewaskan Terengganu FC II (TFC II), 1-0 dalam aksi Liga Perdana semalam, ketua jurulatih Negeri Sembilan (NS), Sazali Saidun tetap resah susulan kesukaran jentera serangan pasukan itu menjaringkan gol.

Pengendali skuad Hobin Jang Hobin itu berkata, dalam aksi berkenaan pemainnya terpaksa menunggu minit akhir permainan untuk mencipta kemenangan, walaupun berjaya melakukan banyak serangan ke arah pintu gol lawan.

"Menguasai sebahagian besar permainan tidak akan bermakna anda gagal jaringkan gol. Ini yang berlaku dalam perlawanan ini apabila banyak serangan dilakukan tetapi gagal menjaringkan gol.

"Beberapa peluang terbaik tidak dapat disempurnakan dengan baik," katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sazali bagaimanapun puas hati dengan strategi dirancang apabila bahagian pertahanan pasukan itu berjaya memainkan peranan dengan menangkis banyak percubaan berbahaya daripada jentera serangan TFC II.

Sementara itu, Ketua jurulatih TFC II, Roshadi Wahab memberi alasan rehat terlalu panjang sehingga lima bulan akibat penularan wabak COVID-19, menyebabkan anak buahnya hilang rentak.

"Apapun, saya tetap ucap tahniah kepada pemain kerana menunjukkan kesungguhan pada aksi pertama selepas rehat panjang ini. Saya berharap pasukan dapat bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan seterusnya," katanya.