--> Skip to main content

Sanggup buat laporan polis palsu, elak anak disaman

BIMBANG anak lelaki dikenakan tindakan undang-undang, bapa berusia 54 tahun dari Taman Bendera, Bayan Lepas, sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa anaknya disamun.

Tindakan bapa dan anaknya berusia 16 tahun itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mereka.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada 23 Ogos lalu.

Katanya, bapanya mendakwa menunggang motosikal dan dibonceng anaknya di Jalan Dato Ismail Hashim pada 5.30 petang sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal dari arah belakang.

"Bapanya mengadu beg yang digalas anaknya direntap lelaki terbabit.

"Akibat rentapan itu, anaknya yang juga pelajar tingkatan empat terjatuh daripada motosikal," katanya hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut mendapati anaknya mengalami kemalangan kerana terbabit dengan lumba motosikal menyebabkan beberapa barangan peribadinya hilang.

Lelaki berkenaan membuat laporan palsu kerana bimbang anaknya yang masih tiada lesen memandu akan dikenakan tindakan saman polis.

"Bapanya mengaku bersalah dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini serta denda sebanyak RM2,000," katanya.