--> Skip to main content

SAM sokong henti sementara operasi ladang babi

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menyokong cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menghentikan sementara operasi penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor jika penternak gagal melaksanakan sistem sifar pelepasan (zero discharged).

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, langkah itu adalah kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah pencemaran tidak berkesudahan hingga menjejaskan keselesaan penduduk sekitar dalam tempoh empat dekad.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan juga perlu menyokong tindakan tegas dicadangkan oleh KASA terhadap penternak hingga mereka patuh pada undang-undang.

"Isu pencemaran (sungai) ini tidak boleh dipandang ringan lanjutan daripada kesan negatif berpanjangan.

"Malah, kesan buruk bukan sahaja terhadap tahap kesihatan serta kesejahteraan manusia bahkan terhadap kualiti tanah, udara dan air.

"Penguat kuasaan tegas perlu diambil bagi melindungi alam sekitar di mana jika pencemaran ini tidak dibendung akan menjejaskan reputasi Pulau Pinang yang memperjuangkan slogan 'Cleaner, Greener Penang'," katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Ahad lalu, Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mengadakan tinjauan bagi melihat pencemaran di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu akan mengusulkan cadangan penghentian operasi sementara kerana tidak sanggup melihat penderitaan penduduk di kawasan itu.

Media yang turut membuat tinjauan di sungai berkenaan mendapati pencemaran bau yang berlaku sangat teruk hingga berasa loya dan mahu pitam.

Difahamkan, kira-kira 1,000 penduduk di beberapa kampung di situ terjejas, sudah lali setiap kali mengajukan permasalahan kepada pihak berkaitan.

Kandang ternakan babi yang terletak di Kampung Selamat dipercayai menyebabkan pencemaran sungai yang serius antaranya di Sungai Kereh, Sungai Korok, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Meriam Dalam.