--> Skip to main content

RUU MKN Pindaan 2020 diluluskan

DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020, hari ini.

Ia dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan untuk menggubal Akta 776 bagi menubuhkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara perundangan susulan pemansuhan Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 1971 dan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979 pada 2011 yang menjadi punca kuasa MKN sebelum ini.

Takiyuddin berkata, ia juga bagi mengisytiharkan kawasan keselamatan (bukan proklamasi darurat) apabila wujud ancaman serius terhadap keselamatan negara.

"(Ia) untuk mengenakan kewajipan terhadap entiti kerajaan supaya berkongsi maklumat atau risikan mengenai keselamatan negara dan mewujudkan mekanisme tindak balas segera dan bersepadu apabila berlaku ancaman serius terhadap keselamatan negara," katanya.

Katanya, RUU itu antara lain bertujuan untuk meminda peruntukan berhubung dengan kuasa bagi mengisytiharkan kawasan keselamatan dengan memberi kuasa terbabit kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ia dibuat berdasarkan kepada Perkara 18 (1) Pengisytiharan hendaklah diwarta. Dasar Keselamatan Negara 2017 bertujuan memayungi rakyat dalam soal keselamatan dan usaha memberi penerangan sedang dibuat di seluruh negara," katanya.