--> Skip to main content

RUU lulus dengan undi belah bahagi

RANG Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 diluluskan Dewan Rakyat menerusi undi belah bahagi, hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan @ Harun yang mengumumkan keputusan memaklumkan kepada dewan bahawa 111 Ahli Parlimen bersetuju, 106 Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang berkenaan manakala lima lagi tidak hadir.

"Keputusan undian adalah seperti berikut, yang bersetuju 111, yang tidak bersetuju 106 dan tidak hadir lima (orang). Oleh itu, Rang Undang-Undang ini dipersetujukan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang Undang-Undang berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 17 Julai lalu.

Permohonan peruntukan itu dibuat susulan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan kementerian baharu selain pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan Kabinet baharu pada 10 Mac lalu.

Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika bacaan kali kedua berlangsung, keadaan dewan agak 'panas' selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati kerana mendakwa soalan yang dikemukakan tidak dijawab Mohd Shahar.

Mohd Shahar bagaimanapun memaklumkan soalan yang tidak sempat dijawab di Dewan Rakyat akan diberikan kepada Ahli Parlimen berkenaan dalam bentuk bertulis.